Monday, November 16, 2009

Renungan

Sebelum mata terlelap di malam hari, masih adakah hutang kita yang belum terbayar?
Sebelum mata terlelap di malam hari, masih adakah budi manusia kepada kita yang belum dibalas?
Sebelum mata terlelap di malam hari, sudahkah kita memohon kemaafan daripada mereka yang kita sakiti hatinya?
Sebelum mata terlelap di malam hari, sudah bereskah tanggungjawab kita terhadap Tuhan?
Sebelum mata terlelap di malam hari, berapa kalikah kita berbuat kebaikkan hari ini?
Sebelum mata terlelap di malam hari, sudahkah kita memohon keampunan kepada Tuhan di atas segala keterlanjuran?

Adalah ganjil buat mereka yang dapat tidur lena, sedangkan masih banyak lagi amanah dan tanggungjawab yang belum beres, kerana ingatlah dengan penuh keinsafan, mungkin itulah kali terakhir kita menutup mata di dunia ini...

Sunday, November 8, 2009

Mesyuarat : Satu cetusan pandangan


Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Dua kepala lebih baik daripada satu. Dengan mesyuarat, suatu idea itu dapat diperhalusi, dikaji burukbaiknya, kesesuaiannya dipertimbangkan, diletakkan menurut tempatnya, dimanfaatkan sepenuhnya.

Terdapat beribu persoalan yang timbul di dunia ini dapat diatasi dengan mesyuarat yang selama lima minit, sekiranya dijalankan dengan berkesan menurut tertibnya.

Firman Tuhan yang mafhumnya: Dan suruhlah mereka mengadakan mesyuarat di kalangan mereka, dan sekiranya sudah mereka putuskan sesuatu maka bertawakkallah kepada Allah.


Perintah mengadakan mesyuarat ada dalam Al-Quran. Cara pelaksanaannya dibiarkan kita menentukan menurut kesesuaian kita. Dalam kita bermesyuarat, mungkin akan timbul perselisihan pendapat. Maka janganlah dirunsing kerana selalunya ia timbul dari jiwa-jiwa yang merdeka, yang masing-masing mahu mencari yang terbaik buat ahli mesyuarat.

Sekiranya suatu perkara itu sudah diputuskan, hendaklah kita menghormatinya, walaupun ianya berlawanan dengan hati kita, kerana kepentingan umum itu diutamakan daripada kepuasan peribadi.