Monday, November 16, 2009

Renungan

Sebelum mata terlelap di malam hari, masih adakah hutang kita yang belum terbayar?
Sebelum mata terlelap di malam hari, masih adakah budi manusia kepada kita yang belum dibalas?
Sebelum mata terlelap di malam hari, sudahkah kita memohon kemaafan daripada mereka yang kita sakiti hatinya?
Sebelum mata terlelap di malam hari, sudah bereskah tanggungjawab kita terhadap Tuhan?
Sebelum mata terlelap di malam hari, berapa kalikah kita berbuat kebaikkan hari ini?
Sebelum mata terlelap di malam hari, sudahkah kita memohon keampunan kepada Tuhan di atas segala keterlanjuran?

Adalah ganjil buat mereka yang dapat tidur lena, sedangkan masih banyak lagi amanah dan tanggungjawab yang belum beres, kerana ingatlah dengan penuh keinsafan, mungkin itulah kali terakhir kita menutup mata di dunia ini...

Sunday, November 8, 2009

Mesyuarat : Satu cetusan pandangan


Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Dua kepala lebih baik daripada satu. Dengan mesyuarat, suatu idea itu dapat diperhalusi, dikaji burukbaiknya, kesesuaiannya dipertimbangkan, diletakkan menurut tempatnya, dimanfaatkan sepenuhnya.

Terdapat beribu persoalan yang timbul di dunia ini dapat diatasi dengan mesyuarat yang selama lima minit, sekiranya dijalankan dengan berkesan menurut tertibnya.

Firman Tuhan yang mafhumnya: Dan suruhlah mereka mengadakan mesyuarat di kalangan mereka, dan sekiranya sudah mereka putuskan sesuatu maka bertawakkallah kepada Allah.


Perintah mengadakan mesyuarat ada dalam Al-Quran. Cara pelaksanaannya dibiarkan kita menentukan menurut kesesuaian kita. Dalam kita bermesyuarat, mungkin akan timbul perselisihan pendapat. Maka janganlah dirunsing kerana selalunya ia timbul dari jiwa-jiwa yang merdeka, yang masing-masing mahu mencari yang terbaik buat ahli mesyuarat.

Sekiranya suatu perkara itu sudah diputuskan, hendaklah kita menghormatinya, walaupun ianya berlawanan dengan hati kita, kerana kepentingan umum itu diutamakan daripada kepuasan peribadi.

Thursday, October 29, 2009

Renungan


Orang yang pengetahuannya baru sedikit, kerapkali menyangka dirinya telah mengetahui semua. Tetapi orang yang luas pandangannya dan mendalam ilmunya, tidaklah berani lagi mengatakan bahawa dia tahu segala-galanya; bahkan dia lebih suka berkata: " banyak yang belum saya ketahui." (Prof. Hamka)

Sungguh aneh! Kita mampu meluangkan masa beberapa minit membaca berita surat khabar yang belum tentu kebenarannya, namun tidak mampu meluangkan sedikit masa membaca Al-Quran Kalamullah yang hak...

Monday, October 26, 2009

PASTI Kinabatangan Bersama Nazree Raihan

KINABATANGAN: Buat pertama kalinya, Majlis Sambutan Hari Raya PASTI Kawasan Kinabatangan dimeriahkan oleh artis ternama. Pada 22 Oktober lalu, bekas Vokalis Kumpulan Nasyid Raihan, Nazri Johani telah menjadi tetamu istimewa PASTI Kawasan Kinabatangan dan turut menghiburkan tetamu Majlis Hari Raya tersebut yang bertempat di PASTI Darul Ulum. Seramai 200 tetamu telah memenuhi dalam dan luar PASTI Darul Ulum.

Majlis ini disambut diatas semangat gotong royong antara warga PASTI Kinabatangan dan juga para ibubapa. Pihak ibubapa membawa hidangan juadah mengikut kegemaran bangsa/ suku mereka. Campuran penduduk yang terdiri dari kalangan orang Sungai, Bugis, Suluk, Bajau dan Melayu Semenanjung ini menyebabkan wujudnya kepelbagaian jenis makanan.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengurus PASTI Kawasan, Ust Zaidi Mustapha yang mempromosi pendidikan PASTI dan menekankan tentang peripentingnya pendidikan Islam sebagai pendidikan awal kanak-kanak. Beliau juga mengharapkan para ibubapa dan tetamu yang hadir dapat menyebarluaskan keupayaan dan keberkesanan pendidikan PASTI dalam usaha membina dan membentuk generasi Al-Quran yang juga disebut sebagai generasi yang unik oleh Syed Qutb dalam bukunya " Petunjuk Sepanjang jalan".

Nazri yang diberi ruang yang luas oleh pihak penganjur telah mempromosikan Maahad Tahfiz yang dalam rangka pembinaan telah mengselangselikan ucapan dan lagu-lagu nasyid daripada albumnya yang lalu dan yang baru.

Persiapan untuk memasak Vs Persiapan tempat

Ucapan dan nyanyian


penuh sopan peminat Nasyid di dalam dewan

Suasana jamuan


Tidak cukup ruang.... duduklah mana yang patut


Makan itu teruskan...... nak bergambar senyumlah itu...........

Buras, mee kicap adalah menu tetap... sodap bah itu..........


Ust Wan Solehuddin dan Ust hamdani bersama Ust Nazree

Osama Laden dan Ust Asrul antara peminta tegal Ust Nazree

Iek nah......Sumandak-sumandak Kinabatangan tetap menjadi peminat Ust Nazree

anak dan guru PASTI join juga bah.......

Bukan Selalu juga dapat jumpa artis ni. bergambarlah kami

Mau balik sudah kami ini...... masih boleh tapau lagi..

Wednesday, October 21, 2009

PASTI: PRA SEKOLAH PILIHAN KITA

PASTI ialah institusi pendidikan yang ditubuhkan sebagai pilihan kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam. Walaupun ia adalah pendidikan pra sekolah, PASTI tetap memainkan peranan yang penting dalam memberi alternatif pendidikan Islam kepada masyarakat. Visi PASTI cukup jelas iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh . Kurikulum PASTI dibangunkan untuk mencapai matlamat 5M iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.Kalimah Tauhid

Pendidikan sejak di awal usia adalah penting, bagi memantapkan keimanan .Terdapat sesetengah ahli / penyokong jemaah Islam yang mengambil sikap mudah , tidak peduli di mana anaknya belajar , dengan siapa ia belajar kerana merasakan anaknya masih kecil. Nanti apabila besar akan diasuh dengan pendidikan Islam. Bukankah kita diajar mengazankan apabila seorang bayi dilahirkan ,supaya kalimah pertama yang didengar ialah kalimah tauhid. Apakah maknanya ini semua, kalau bukan pentingnya mendidik seawal usia.

Barangkali kita lupa , Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa anak seumpama kain putih maka ibubapanyalah yang mencorakkan samaada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Maka sepatutnya PASTI menjadi pilihan mandatori terhadap pendidikan pra sekolah anak-anak kita.

Para ulama Islam telah menggariskan tiga unsur penting dalam pendidikan. PASTI melengkapi tiga unsur penting ini – manhaj, murabbi & waqi’

Manhaj
- PASTI menetapkan Islam sebagai manhaj pendidikanya. Untuk mencapai matlamat pendidikan Islam iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh maka tiada pilihan lain selain daripada kurikulium Islam yang syumul. Tadika yang tidak mengambil manhaj Islam sebagai teras pendidikan tidak mampu membentuk anak yang beriman dan soleh kerana dasarnya bukan Islam. Mana mungkin sistem pendididkan yang lain daripada Islam akan membentuk peribadi Muslim yang beriman dan bertaqwa.

Murabbi
- Hanya para pendiddik yang beriman dan beramal soleh akan melahirkan pelajar yang beriman dan beramal soleh. PASTI mempunyai guru –guru yang sememangnya sentiasa di bentuk melalui tarbiyyah jamaah seperti usrah , tamrin dan majlis-majlis ilmu bagi memantapkan ilmu, iman dan amal murabbi sendiri.. Di tangan merekalah, ( guru yang memahami islam yang syumul , aqidah yang benar ) anak -anak kita diasuh . Guru yang tidak memahami Islam tidak dapat menjadikan anak- anak kita sebagai orang yang bertaqwa. Maka di atas alasan apakah kita menghantar anak-anak kita kepada mereka yang jahil hakikat tasawur Islam bahkan menentang perjuangan Islam.

ProfesionalismaKesungguhan dan keikhlasan guru PASTI dalam mendidik menjadi satu aset yang besar kepada jemaah. Kecintaan mereka kepada perjuangan Islam sepatutnya sudah cukup bagi kita untuk menghantar anak-anak ke PASTI. Sungguh menghairankan , kita bersungguh –sungguh berjuang untuk menegakkan Islam tetapi pada masa yang sama membiarkan anak-anak kita dibentuk oleh orang lain , bahkan diajar oleh guru-guru yang menentang hukum Allah dan Rasul. Di mana rasional kita?

PASTI sentiasa mengadakan kursus –kursus profesionalisma perguruan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Cabaran pendidikan yang sentiasa berubah dan mencabar, didepani oleh PASTI dengan sewajarnya.

Iltizam

Masyarakat hari ini menghadapi cabaran kebendaan yang hebat. Setiap hari media massa menonjolkan gaya hidup yang lavish ( mewah ). Pemikiran umat Islam sentiasa diasak dengan kemajuan pembangunan kebendaan .Lantaran itu mungkin ada sebahagian daripada kita lebih mementingkan RM 300.00 setahun daripada pendiddikan Islam anak-anak kita. Ada sesetengah orang sanggup meninggalkan masjid dan surau yang selama ini hatinya tertambat , kerana diugut tidak akan diberi wang ihsan . Ada pula yang sanggup menjadi jahil sepanjang tahun dengan meninggalkan majlis-majlis ilmu yang selama ini ia menjadi murid setia. Kalaulah ini berlaku, di manakah nilai iman kita . Apa yang akan kita jawab dan persembahkan di hadapan Allah di akhirat nanti?

Kita mesti menyatakan iltizam kepada jamaah melalui tindakan . Setiap program yang disusun oleh jemaah semestinya didukung dengan penuh rasa tanggungjawab. Rasa kecintaan kepada kepada jamaah dan institusi milik jemaah ( masjid, surau, markaz , kelas pengajian, PASTI dll ) mestilah sentiasa disuburkan supaya terus segar. Kita perlu menanam keyakinan bahawa jamaah adalah milik kita.

Misi & Visi

VISI

Melahirkan insan soleh di Malaysia melalui pendidikan pra sekolah sebagai elemen terpenting

MISI

Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.

OBJEKTIF

1. Menyediakan proses pendidikan awal yang berorientasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.

2. Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis.

3. Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah, akhlak dan cenderong melakukan makruf serta meninggalkan mungkar.

4. Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir.

5. Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.

Tuesday, October 20, 2009

Sifat dan perilaku seorang bapa mithali


1. Sentiasa berdoa kepada Allah memohon kebaikan untuk ahli keluarganya dan dirinya.

2. Memberi tauladan yang baik buat anak-anak dalam setiap perkataan mahupun perbuatan; dengan begitu anak-anak mudah mengikutinya.

3. Sesekali bergurau senda. Dengan yang kecil berlemah lembut, manakala anak yang besar diperlaku sebagai teman.

4. Menjaga keluarga dengan cara mengajak mereka menurut seruan Allah dan meninggalkan laranganNya.

4. Tidak meninggalkan rumah kecuali kerana urusan penting, dan sentiasa memperuntukkan masa buat berbincang bersama ahli keluarga.

5. Menjaga keluarga dan persekitaran rumah daripada segala bentuk bahan yang melalaikan dan menjatuhkan maruah keluarga.

6. Mengawasi akidah, akhlak dan perilaku anak-anak di rumah, sekolah dan masyarakat dengan cara melihat siapakah yang menjadi kawan mereka.

7. Mengambilkira umur anak-anak sebelum suatu arahan hendak diberikan kepada mereka agar cara yang digunakan sesuai dan berkesan.

8. Menghindari keluarga daripada gaya hidup yang bermewah-mewah dan glamour kerana ianya mendekatkan keluarga kepada jurang kemaksiatan.

9. Menuntun anak-anak sejak daripada mereka kecil lagi agar menghafal Al-Quran; tidak meniru perilaku orang kafir; dan tidak berhias dengan hiasan untuk jantina yang berlawanan.


Sumber: Rahsia Tokoh Yang Berjaya oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (dengan suntingan).

Saturday, October 17, 2009

Nazree Raihan Bakal Meriah Majlis Hari Raya PASTI Kinabatangan

Nazri Johani atau lebih dikenali dengan panggilan Nazri Raihan bakal memeriahkan Sambutan Majlis Hari Raya PASTI Kawasan Kinabatangan yang bakal di adakan pada 22 Oktober 2009. Program yang akan dilangsungkan di PASTI Darul Ulum, Pekan Kinabatangan itu dalam proses mempromosi PASTI dan pendaftaran pelajar untuk sesi pengajian 2010.Program yang akan bermula pada jam 3.00 petang ini akan melibatkan pelajar PASTI, ibubapa, AJK, penduduk setempat dan beberapa tetamu jemputan di harapkan menjadi medan untuk mengukuhkan tali saliturrahim antara warga PASTI dan masyarakat setempat.

Dewan Abdul Hadi yang baru siap dimozek ini akan menjadi pentas untuk Nazri berkomunikasi dan berhibur bersama warga Kinabatangan dan anak-anak PASTI. Selain itu, jualan produk Muslim dijangkakan turut memeriahkan sambutan hari raya kali ini. Kepelbagaian hidangan juadah yang dibawa oleh ibubapa kanak-kanak PASTI akan menjadi suntikan kemeriahannya.

Wednesday, October 14, 2009

Sekadar Renungan

Mafhum Hadis: Barangsiapa yang mahu kejayaan di dunia, maka dia memerlukan ilmu; barangsiapa yang mahu kejayaan di akhirat, dia memerlukan ilmu; barangsiapa yang mahu kejayaan keduanya (di dunia dan di akhirat), dia memerlukan ilmu.

Tuntutlah ilmu dengan pengharapan ianya akan mendekatkan diri kita dengan Al-Khalik (Allah).
Sekiranya semakin lama kita belajar, semakin jauh diri kita daripada agama, periksalah semula diri kita, niat kita, tujuan kita belajar, kerana ditakuti ilmu yang diperolehi itu hanyalah satu tadarruj atau perancangan Allah buat orang kafir ke lembah neraka.

Janganlah cepat berputus asa sekiranya setelah beberapa kali mencuba, namun masih menemui jalan buntu, kerana ketahuilah Thomas Alva Edison berhasil menemui kaedah untuk menyalakan lampu setelah beribu-ribu kali mencuba.

Sunday, September 27, 2009

Syukur dan Terima Kasih

Pihak pengurusan dan warga PASTI Kinabatangan mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan mereka yang bermurah hati berderma untuk menyiapkan PASTI Darul Ulum. Terbaru, kami menerima RM1,000 daripada seorang sahabat di Kedah yang disalurkan melalui Ust Ahmad Nizam. semoga Allah memberkati dan merahmati penderma ini.

Buat masa ini, Pasti Darul Ulum dalam usaha menyiapkan ruangan tambahan. Sekarang kerja memasang mozek sedang dilakukan sekalipun dinding, elektrik, perabot dan kawasan luar PASTI belum siap sepenuhnya. Kami mendahului mozek kerana menerima derma untuk membeli mozek lantai terlebih dahulu.

Selain PASTI Darul Ulum, pihak pengurusan juga memerlukan sumbangan untuk menyiapkan PASTI Darul Anuar di Kg Sukau dan juga PASTI Darul Hikmah Kg Sentosa Jaya. Buat masa ini, PASTI Darul Hikmah telah beroperasi dengan bangunan rumah kedai yang ubahsuai. Dalam keadaan dhaif. Kami malukan dahulu kerana tidak mahu, bangunan menjadi halangan untuk memulakan pembelajaran. Sementara itu bagi PASTI Darul Anuar yang dirancang beroperasi Januari 2010 masih dalam pembinaan. Setakat ini kos binaan bergantung kepada penderma setempat dan pihak pengurusan PASTI kawasan tidak mampu menyalurkan apa-apa bantuan.

Kita doakan semoga Allah memurahkan rezeki kita bersama dan dapat kita sama-sama beramal jariah untuk menyebarkan Islam di bumi Sabah ini. Semoga kita sentiasa diberi kekuatan untuk terus berusaha dengan hanya mengharapkan redha Allah. Namun demikian, pihak kami tetap terus mengalu-alukan sumbangan sahabat-sahabat saudara-saudari seaqidah untuk bersama-sama kami menjaya pendidikan melalui PASTI.

Kepada yang bermurah hati untuk menyumbang, bolehlah berbuat demikian
dengan cara menyumbang ke Akaun Maybank Ust Zaidi Mustafa 114348082551 (PASTI Kinabatangan belum mempunyai akaun). Sumkbangan juga boleh diberikan kepada sahabat-sahabat atau AJK PASTI kawasan Kinabatangan. Semoga sumbangan anda bakal menyemarak pendidikan Islam di Kinabatangan khususnya dan Sabah amnya.Terima kasih.